JABATAN BENDAHARI
"Perkhidmatan kewangan terbaik untuk semua" 

Goods & Services Tax (GST)

APA ITU CUKAI BARANGAN & PERKHIDMATAN (CBP)?

CBP juga dikenali sebagai VAT (value added tax) atau cukai nilai ditambah di kebanyakan negara adalah cukai pelbagai peringkat penggunaan barangan dan perkhidmatan.

CBP dikenakan ke atas bekalan barangan dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian bekalan daripada pembekal sehingga peringkat peruncit. Walaupun CBP dikenakan di setiap peringkat rantaian bekalan, elemen cukai tidak menjadi sebahagian daripada kos produk kerana cukai input boleh ditolak oleh perniagaan di langkah seterusnya dalam rantaian bekalan.

CBP adalah cukai kepenggunaan yang meluas meliputi semua sektor ekonomi iaitu semua barang dan perkhidmatan yang dibuat di Malaysia dan  diimport kecuali barang dan perkhidmatan tertentu yang dikategorikan di bawah perintah pembekalan berkadar sifar dan perintah pembekalan dikecualikan sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri Kewangan dan disiarkan dalam Warta.

Asas utama CBP adalah ciri-ciri kawalan kendiri (self-policing) yang membolehkan perniagaan untuk menuntut kredit cukai input mereka secara automatik dalam sistem perakaunan mereka. Ini memudahkan prosedur-prosedur pentadbiran bagi pihak Kerajaan dan juga peniaga. Oleh itu, sistem penyampaian Kerajaan dapat dipertingkatkan lagi.

Kita perlu membayar cukai supaya kerajaan boleh membiayai pembangunan sosio ekonomi termasuk menyediakan infrastruktur, pendidikan ,penjagaan kesihatan, kebajikan dan keselamatan negara dan lain-lain.

"Sejak beberapa dekad yang lalu, telah menjadi trend di seluruh dunia untuk memperkenalkan sistem CBP berperingkat. Hari ini, hampir 90% penduduk dunia hidup dalam negara dengan CBP, termasuk China, Indonesia, Thailand, Singapura dan India.   

 

MENGAPA CBP?                                              

CBP dicadang untuk menggantikan cukai penggunaan semasa iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST). Pengenalan CBP adalah sebahagian daripada pembaharuan cukai Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem percukaian sedia ada.

CBP telah dibuktikan satu sistem cukai yang lebih baik kerana ia lebih berkesan, cekap, telus dan mesra perniagaan dan boleh merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing dalam pasaran global.
CBP berkebolehan menjana sumber hasil yang lebih stabil kepada negara kerana ia kurang dipengaruhi turun naik ekonomi.

Adalah penting untuk menggantikan SST sedia ada dalam usaha untuk mengatasi kelemahan yang wujud seperti cukai berperingkat, bertindih, pemindahan harga dan nilai pindah, tiada pelepasan lengkap barang dieksport, menggalakkan integrasi menegak, kerenah birokrasi pentadbiran, isu-isu klasifikasi dan lain-lain.

Pelbagai manfaat bahawa CBP boleh menawarkan kepada pengguna perniagaan dan Malaysia adalah:

  • Meningkatkan taraf hidup

Hasil daripada CBP boleh digunakan untuk tujuan pembangunan infrastruktur sosial seperti kemudahan dan institusi kesihatan, infrastruktur pendidikan dan kemudahan awam untuk meningkatkan lagi taraf hidup.

  • Mengurangkan kos perniagaan

Di bawah sistem semasa, sesetengah perniagaan membayar cukai berganda dan kadar cukai di tahap yang lebih tinggi kerana berlakunya cukai atas cukai (cukai bertindih). Dengan CBP, perniagaan bermanfaat kerana boleh mendapatkan balik cukai input atas bahan mentah dan perbelanjaan yang ditanggung, dan seterusnya mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

  • Pembangunan negara

CBP adalah satu kaedah yang lebih baik dan cekap. Lebih banyak dana boleh disalurkan ke dalam projek-projek pembangunan negara untuk kemajuan ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

  • Keadilan dan kesaksamaan

CBP dikenakan secara sama rata antara perniagaan yang terlibat, sama ada di peringkat pengilangan, pemborong, peruncit atau di sektor perkhidmatan.

  • Meningkatkan sistem penyampaian

CBP akan ditadbir dalam persekitaran sistem elektronik dan boleh mempercepatkan sistem penyampaian, terutamanya bagi tuntutan bayaran balik. Ini menjadikan ia lebih cepat, cekap dan boleh dipercayai.

  • Meningkatkan daya saing global

Harga eksport Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing di persada global kerana tidak dikenakan CBP dan CBP yang ditanggung ke atas input boleh didapatkan semula di sepanjang rantaian pembekalan. Ini akan memperkukuhkan industri eksport negara dan membantu negara untuk lebih maju.

  • Meningkatkan pematuhan

SST mempunyai banyak kelemahan yang menyukarkan pentadbiran. Sistem CBP mempunyai mekanisme yang tersedia menjadikan pentadbiran cukai lebih berkawalan kendiri (self-policing) dan dengan ini akan mempertingkatkan pematuhan.

  • Mengurangkan kerenah birokrasi

SST berkehendakkan peniaga memohon kelulusan bahan bebas cukai dan pengecualian khas untuk harta alih. Kehendak ini tidak perlu di bawah CBP dan perniagaan boleh offset CBP ke atas input dalam penyata mereka.

  • Harga adil kepada pengguna

CBP menghapuskan cukai bertindih di bawah SST. Pengguna akan membayar harga yang lebih berpatutan bagi kebanyakan barang dan perkhidmatan berbanding SST.

  • Lebih telus

CBP adalah lebih telus kerana pengguna akan tahu sama ada barang atau perkhidmatan diperoleh tertakluk kepada cukai dan amaun cukai yang perlu dibayar.

 

Bagaimana cukai perkhidmatan dikenakan 

Bagaimana cukai perkhidmatan dikenakan

 

Sumber : Laman Web Rasmi Kastam Diraja Malaysia (http://gst.customs.gov.my/ms/gst/Pages/gst_wi.aspx)

  • Privacy Policy
  • Security Policy
  • Disclaimer
  • Sitemap                                                                                                           Last Updated   : 2 Ogos 2019